unstoppable movie review



Sinopsis Filem Unstoppable - Lakonan Chris Pine dan Denzel Washington


Filem arahan Tony Scott ini adalah sebuah adaptasi berdasarkan sebuah kisah benar mengenai sebuah keretapi yang bergerak tanpa pemandu sekitar tahun 2001 di Ohio. Will (lakonan Chris Pine) merupakan seorang konduktor baru yang dijangka menggantikan Frank Barnes (lakonan Denzel Washington). Kecuaian seorang pemandu menyebabkan sebuah keretapi yang dikenali sebagai Triple 7 atau 777 yang membawa muatan toksik mudah terbakar dan mudah meletup terlepas dan bergerak sekitar 70 batu sejam tanpa pemandu dan dijangka meletup di Stanton. Letupan yang diakibatkan oleh bahan-bahan toksik tersebut mampu memusnahkan sebuah bandar sekiranya keretapi tersebut gagal dihentikan. Will dan Franks berusaha sedaya upaya mereka untuk menghentikan keretapi tersebut.


Ulasan Ringkas Filem Unstoppable


Filem ini bergerak pantas terus ke tajuk ceritanya iaitu Unstoppable. Babak-babak mencemaskan sememangnya banyak dapat dilihat dalam filem ini. Keperwiraan watak-watak utamanya menambahkan lagi daya tarikan filem ini.

 
Will sebenarnya telah diambil bekerja demi menggantikan tempat Frank Barnes. Frank Barnes dijangka bersara dalam keadaan yang amat merugikan, tidak mendapat faedah pencen sepenuhnya. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati Frank terhadap pihak atasan. Will pula dilanda perasaan bersalah kerana kehadirannya dalam bidang ini telah menjejaskan masa depan Frank. Ternyata, peristiwa yang menggerunkan yang bakal berlaku pada hari pertama Will bekerja merupakan hikmah yang membawa kepada penamatan yang menggembirakan.

 
Frank Barnes dan Will sama-sama tidak peduli tentang hilang pekerjaan atau dipecat oleh majikan mereka kerana tidak mematuhi arahan ketua mereka. Frank berjaya membuktikan, pengalamannya dalam bidang pengangkutan keretapi berjaya menyelamatkan ramai penduduk.

Salah satu daripada babak mencemaskan dalam filem Unstoppable. Filem ini fokus terhadap punca, konflik dan penyelesaian masalah. Tidak ada babak-babak yang membosankan, atau babak-babak yang tidak patut ada. Sebuah filem yang sangat ekonomi. Filem ini juga memuatkan banyak adegan suspens melibatkan seramai 150 orang pelajar sekolah, babak menghentikan keretapi dari depan, babak menggunakan helikopter untuk menurunkan pemandu keretapi ke keretapi, babak pelanggaran nyaris maut, babak menghentikan keretapi dari belakang, babak hampir merempuh tangki-tangki minyak di tengah bandar dan babak seperti di dalam gambar di atas, di mana Will nyaris-nyaris hilang kaki dan nyawanya dalam usaha menyambung cangkuk antara enjin keretapi yang dipandu oleh Frank dengan gerabak bijirin yang bersambung dengan keretapi 777.

Disebabkan jalan ceritanya yang fokus terhadap permasalahan yang dihadapi, filem ini mampu membuatkan penonton terdiam dan terpaku, apatah lagi bunyi keretapi dan visual yang diambil dari celah roda dan enjin keretapi sememangnya menimbulkan perasaan cemas dan menggerunkan. Bunyi wisel keretapi sememangnya mempunyai gelombang maut yang dahsyat.

 
Frank Barnes seorang bapa perwira, beliau mengabaikan konflik kecilnya dengan anaknya kerana perlu memberi perhatian terhadap misi menyelamatkan penduduk di sekitar landasan keretapi. Penamat cerita ini ialah 'happy ending'. Begitu juga dengan Will Gordon yang sanggup mengabaikan masalahnya dengan isterinya demi nyawa penduduk setempat.

 
Kesimpulannya, filem Unstoppable adalah sebuah filem yang fokus terhadap judul ceritanya. Sebuah filem yang mampu memberi teladan kepada para penonton mengenai sifat keperwiraan. Terdapat banyak moral dalam cerita ini yang boleh dilihat, antaranya jangan ambil mudah apabila menjalankan tugas. Berfikir sebelum bertindak, dan utamakan kepentingan orang ramai berbanding kepentingan diri sendiri.



Artikel yang berkaitan



0 comments:

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...